(Foto fail)
DENGKIL, 6 Ogos- Kementerian Komunikasi dan Digital akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung isu penjualan minyak masak peket bersubsidi secara dalam talian di beberapa platform media sosial.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau melihat perkara ini sebagai serius dan ia jelas melanggar peraturan yang ditetapkan KPDN.
"Sekiranya ada pelanggaran saya akan berhubung dengan MCMC dan pihak penyedia perkhidmatan untuk tindakan lanjut.
"Saya rasa ini satu perkara yang serius dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran insya-Allah pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang," kata Fahmi kepada media selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti DUN Dengkil.
Tinjauan di beberapa platform media sosial termasuk ‘marketplace’ Facebook mendapati, wujud segelintir peniaga memasarkan minyak masak paket bersubsidi di platform berkenaan.
Barangan keperluan itu didapati dijual pada harga agak tinggi iaitu RM3 sekilogram berbanding harga kawalan, RM2.50 sekilogram.
(Fahmi berkata jual minyak masak bersubsidi dalam talian, langgar peraturan)