fb fb fb fb fb

Jual 17 paket minyak masak paket dalam satu transaksi, premis perniagaan berdepan denda RM5 juta

SRI AMAN, 28 Julai- Sebuah premis perniagaan di Bandar Simanggang, berdepan denda sehingga RM5 juta selepas dikesan menjual minyak masak paket satu kilogram melebihi had yang ditetapkan.

Ketua Pegawai PenguatKuasa Daerah KPDNHEP Sri Aman, Al Redzamani Abdul Razak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan penyamaran oleh pihaknya mendapati tiada stok minyak masak paket dijual di premis tersebut.

Al Redzamani Abdul Razak memberitahu tindakan KPDNHEP itu susulan aduan dan maklum balas pengguna di media sosial berhubung kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket di kawasan mereka.

Katanya, pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Operasi mendapati ada penjualan melebihi had sebanyak 17 paket atau satu kotak dalam satu transaksi pada Selasa lepas.

Premis itu didapati gagal mematuhi arahan pengawal berhubung kawalan penjualan minyak masak paket iaitu sebanyak tiga paket per transaksi.

Al Redzamani menjelaskan setiap pengguna hanya dibenarkan membeli tiga paket minyak masak dan peniaga perlu mematuhi had penjualan yang telah ditetapkan.

Ia bagi memastikan setiap isi rumah mampu mendapatkan barang bersubsidi berkenaan.

Peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dengan denda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Al Redzamani meminta masyarakat bekerjasama dengan KPDNHEP dalam memberikan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi agar aktiviti ini dapat ditangani.


(Tindakan KPDNHEP adalah susulan aduan dan maklum balas pengguna di media sosial)

Media Baharu