fb fb fb fb fb

JSCMC selaras hala tuju, pantau inisiatif bawah JS-SEZ

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) di ibu negara

JOHOR BAHRU, 26 November - Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Menteri-Menteri Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) bagi menggantikan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM).
 
Menerusi kenyataan bersama, platform itu akan menjadi badan penyelaras utama memberikan hala tuju strategik serta memantau pelaksanaan inisiatif bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

"Kedua-dua negara bersetuju menubuhkan beberapa kumpulan kerja khas meliputi JS-SEZ, pengangkutan dan bidang kerjasama masa depan, yang akan melapor kepada Jawatankuasa Bersama Menteri-Menteri (JMC).
 
"Sebagai mesyuarat penutup JMCIM, jawatankuasa turut menilai rekod lebih 45 inisiatif strategik sejak 2007 yang menyumbang kepada pembangunan Iskandar Malaysia dan hubungan ekonomi dua hala.
 
"Mesyuarat turut mengambil maklum kemajuan proses merangka pelan tindakan JS-SEZ serta ratifikasi perjanjian berkaitan, yang akan memudahkan pelaksanaan zon ekonomi itu apabila berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Menteri Kanan Singapura Zaqy Mohamad dan Low Yen Ling.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI