fb fb fb fb fb

JS-SEZ, buka peluang ekonomi buat Malaysia, Singapura

FOTO PMO

PUTRAJAYA, 12 Jun- Potensi dan hubungan bilateral sedia kukuh adalah keistimewaan dan potensi bagi mencapai kejayaan dalam Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JE-SEZ) yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, beliau teruja dengan potensi JS-SEZ kerana inisiatif tersebut ada segalanya yang diperlukan untuk berjaya. 

Menurutnya, banyak contoh SEZ dalam dunia yang berjaya.

Melihat kepada kerjasama Johor - Singapura, beliau berpendapat semua faktor kejayaan itu ada pada JS-SEZ.

“Johor dan Singapura ada segalanya untuk menjadikan mereka sebagai SEZ yang berjaya dan projek yang kita ada, termasuk RTS (Rapid Transit System Link) akan memainkan peranan besar dan mengubah segalanya.

"Projek itu mampu untuk melengkapkan segala yang ada antara Malaysia dan Singapura kerana ada yang beranggapan kedua-dua negara ini bersaing daripada segi ekonominya.

"Hakikatnya, kami melengkapkan antara satu sama lain dan pesaing kami adalah negara di luar sana. Singapura, Malaysia bersaing dengan negara luar dari wilayah ini,"katanya.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua negara terus bergerak dengan polisi dan perancangan jelas ditambah pula projek RTS, jelas Lawrence, JS-SEZ akan membuka pelbagai peluang ekonomi buat kedua-dua negara.

Tambah beliau, peluang itu akan membawa manfaat kepada penduduk Malaysia dan Singapura sebaik potensi kerjasama itu mula menunjukkan hasilnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, selepas selesai pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE