fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi diesel kurangkan masalah penyeludupan

Menteri Komunikasi yang juga merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil /Foto RTM

PUTRAJAYA, 12 Jun- Aktiviti berkaitan penyeludupan diesel dilihat semakin berkurangan sejak penyasaran  subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kerajaan.

Menurut Menteri Komunikasi yang juga merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, perkara itu berdasarkan dapatan yang diperoleh di lapangan sempadan negara.

"Berdasarkan dapatan juga daripada pengamatan pasukan di lapangan menunjukkan beberapa aktiviti yang dipercayai berkait dengan penyeludupan semakin berkurangan Terutama di kawasan-kawasan sempadan di Semenanjung Malaysia.

"Dapatan waktu ini menunjukkan di beberapa stesen Minyak di Rantau Panjang,Wang Kelian aktiviti terutama untuk membeli minyak diesel berkurangan. Jadi tidak mustahil ada tindakan penyeludupan yang telah berjaya di kekang akibat daripada penyasaran semula subsidi", katanya.

Sementara itu, Fahmi turut mengulas berkaitan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkan sebagai seorang yang bermasalah kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak mengikut fakta.

Ujar Fahmi, seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian.

"Itu mirip kenyataan hasutan dan juga bersifat perkauman, beliau sering kali tidak bercakap dengan fakta, buka mulut sahaja bohong.Ini sikap tidak baik bagi seorang Menteri Besar, tidak patut beliau berkelakuan seperti itu", katanya ketika mengulas mengenai dakwaan Pengarah Pilihan Raya PAS itu kononnya kerajaan Pulau Pinang mengambil sikap diskriminasi dalam pengagihan air di negeri berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD