KUALA LUMPUR, 24 September - ASEAN tidak boleh menjadi pemerhati bersifat pasif dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik global, sebaliknya perlu memimpin membina daya tahan sekali gus memperkukuh sektor utama berkaitan dalam kalangan negara anggotanya yang kini menaungi lebih 600 juta penduduk.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu melangkaui dengan memimpin usaha memperkukuh rantaian bekalan, memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melabur dalam agenda kelestarian serta mengadaptasi inovasi bagi memastikan daya tahan ekonomi serantau terus utuh.
"ASEAN tidak boleh menjadi pemerhati yang pasif. Kita bukan sahaja harus bertindak balas, kita mesti memimpin. Daya tahan mesti dibina dari dalam dengan memperkukuh rantaian bekalan, memperkasa PMKS, melabur dalam kemampanan dan menerima inovasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Gala Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke- 57 di ibu negara.
Datuk Seri Anwar juga memaklumkan bahawa, ASEAN kini berada pada kedudukan kelima ekonomi terbesar dunia dan tidak mustahil dengan perkongsian ekonomi serantau komprehensif, peningkatan perjanjian perdagangan ASEAN serta hubungan antara negara anggota yang kukuh.
Dengan sokongan kebersamaan ekonomi, ASEAN berpotensi muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu Penganjuran kali pertama Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada Oktober depan merupakan langkah berani dan tepat pada masanya.
Perdana Menteri berkata inisiatif itu diharap mampu melakar prinsip kebersamaan ASEAN agar mampu mengemudi cabaran ekonomi dan politik yang mendatang.
"Ini adalah inisistif yang berani dan tepat pada masanya. Ia menandakan keazaman ASEAN untuk menangani cabaran interlin geopolitik dan geoekonomi dengan perpaduan dan institusi yang koheren.
"Malaysia berbangga untuk menjadi tuan rumah dan menyokong usaha bersejarah ini dan kami berharap ia melakar prinsip bersama yang membimbing perjalanan ASEAN dalam mengemudi perhubungan kompleks ekonomi dan politik yang mendatang," katanya lagi.