fb fb fb fb fb

JPV Pulau Pinang terima aduan kucing, anjing terbiar diberikan racun

Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab

BUKIT MERTAJAM, 31 Januari- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang menerima 265 aduan berkaitan penganiayaan haiwan di negeri itu sepanjang tahun lalu.

Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata bahawa pihaknya ada menerima laporan kes membabitkan kucing dan anjing terbiar yang diberikan racun.

" Bentuk penganiayaan lain yang dilakukan adalah haiwan itu dikurung atau dipelihara dalam kandang atau sangkar yang kecil (sempit). Ada juga haiwan diikat di tengah panas iaitu bukan berada di tempat yang ada perlindungan sewajarnya serta tidak diberikan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika membentangkan Laporan Pencapaian Penguatkuasaan di Bawah Perundangan JPV Pulau Pinang bagi tahun 2023 di Pejabat JPV negeri di Bukit Tengah, di sini, hari ini.

Ujarnya, sebanyak lima kertas siasatan berhubung penganiayaan haiwan dibuka tahun lalu manakala kes selebihnya masih dalam siasatan.

"Kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 iaitu menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap mana-mana haiwan.

"Dalam seksyen ini, mereka yang bersalah boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara selama tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Saira memberitahu kesemua 20 penternak khinzir di Pulau Pinang yang mengalami kerugian selepas ternakan mereka dijangkiti virus Demam Babi Afrika (ASF) tahun lepas, sudah pun menerima bayaran pampasan melibatkan lebih RM6 juta.

Sebanyak 27, 344 ekor khinzir terpaksa dilupuskan JPV negeri sepanjang tempoh 3 Januari hingga 15 Mac tahun lalu ekoran ASF.

ZEHRA BINTI ZAMBRI