KUALA LUMPUR, 1 Februari- Tandas yang bersih mencerminkan keimanan Islam dan itu matlamat untuk semua masjid di Wilayah Persekutuan pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata walaupun usaha tersebut dianggap kecil, namun ia melambangkan keimanan umat Islam dan pelancaran mengenainya akan diadakan tidak lama lagi.
"Tahun ini, usaha kita untuk memastikan tandas-tandas masjid di Wilayah Persekutuan ini ia akan jadi tandas yang bersih mencerminkan keimanan Islam itu sendiri.
"Kita akan buat pelancaran di Masjid Putrajaya nanti semoga dengan usaha nampak kecil ia melambangkan keimanan kita dah banyak kali terima aduan orang mengatakan tandas masjid tidak brsih, jadi saya harap kita boleh mulakan,"katanya.
Tambahnya, pihaknya akan berkolaborasi dengan selebriti Aliff Satar untuk memperhebat dan menggerakkan gelombang program Subuh Macam Jumaat dan menjadikannya sebagai penanda aras yang penting bagi masjid-masjid di Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Wilayah Persekutuan Berselawat di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur yang merupakan acara pembuka tirai 28 program yang telah dirancang sepanjang tahun 2024 sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun JAWI.
Lebih 4,000 warga sekitar Kuala Lumpur berselawat bersama kumpulan nasyid jemputan iaitu Inteam dan Al-Mawlid.
Manakala tausiyah pula disampaikan oleh tokoh pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid.