fb fb fb fb fb

JPV Perlis lulus 1,075 permit sembelih korban

KANGAR, 29 Jun- Sebanyak 1,075 permit menyembelih dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis bersempena Aidiladha tahun ini, di seluruh negeri itu.

Daripada jumlah tersebut, 791 Permit Sembelih Luar (PSL) dikeluarkan bagi penyembelihan lembu dan kerbau.

Manakala 284 PSL dikeluarkan bagi menyembelih kambing yang dipohon untuk dilaksanakan di luar rumah penyembelihan seperti masjid, surau atau mana-mana lokasi yang menjalankan ibadah korban. 

Timbalan Pengarah JPV Perlis, Dr. Madihah Mohd Zin berkata pihaknya akan melaksanakan pemantauan secara berkala aktiviti penyembelihan korban, yang dilaksanakan di lokasi dibenarkan.

Pemantauan bertujuan memastikan aktiviti penyembelihan korban dijalankan dengan teratur dan bersih.

Sekali gus mengelak penyakit bawaan daging sembelihan korban yang boleh mengancam keselamatan makanan serta kesihatan awam, selain mengambil kira kebajikan haiwan semasa ibadah korban dilaksanakan.

Dr. Madihah menyembah maklum perkara berkenaan kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda berkenan berangkat ke Kompleks Veterinar Negeri Perlis di Kangar bagi menerima sembah taklimat berkaitan perkembangan pengurusan ibadah korban, di sini pada Rabu.

(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
berkenan berangkat ke Kompleks Veterinar Negeri Perlis di Kangar)

Media Baharu