fb fb fb fb fb

JPNIN perkasa pendidikan awal kanak-kanak melalui pemakanan sihat, transformasi digital

Foto hiasan

PUTATAN, 12 Julai- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) komited memperkasa pendidikan awal kanak-kanak melalui pendekatan menyeluruh meliputi kesihatan pemakanan dan transformasi digital.

Sehingga Mac 2025 seramai 2,427 murid Tabika Perpaduan dan 72 kanak-kanak Taska Perpaduan dikenal pasti mengalami masalah bantut. Daripada jumlah tersebut, 17 murid Tabika dan dua kanak-kanak Taska direkodkan di Sabah.

Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, usaha bersepadu sedang dilaksanakan bersama pelbagai agensi bagi menangani isu berkenaan.

"Jadi kita telah mengambil usaha inisiatif bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Kesihatan dan juga Jabatan Kesihatan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan untuk perkenalkan menu sihat kepada anak murid", katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Penutup Bengkel Profesionalisme Warga Pendidik Perpaduan Negeri Sabah Dan Sambutan Hari Guru di Putatan, Sabah.

JPNIN turut melaksanakan Program Kesedaran Kesihatan melibatkan ceramah dan taklimat kesihatan sebanyak tiga kali setahun di setiap negeri, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pemakanan seimbang.

Menu berkhasiat yang disediakan di Tabika dan Taska Perpaduan kini mengikut garis panduan pemakanan sihat yang diluluskan pihak kesihatan.

Di Sabah, sebuah projek rintis Healthy Central Kitchen telah diadakan di Taska Perpaduan Nosoob Baru, Penampang.

Ia bertujuan menilai kebolehlaksanaan program, mengenal pasti kekangan serta menilai impak terhadap status pemakanan kanak-kanak, selain mendapatkan maklum balas untuk pelaksanaan Projek tersebut secara menyeluruh di seluruh negara.

Dalam pada itu, JPNIN kini giat memperlengkapkan 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan kemudahan Smartboard, sebagai usaha dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kaedah pengajaran.

ROSLINA BINTI DIN