ALOR SETAR, 12 Julai - Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan peruntukan RM1.15 juta untuk kerja menaik taraf dan pembaikan menyeluruh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu di Jitra pada tahun ini.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM800,000 diperuntukkan bagi menaik taraf peralatan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perabot di blok akademik dan kerja-kerja pengalisan air.
Beliau berkata turut dilakukan menaik taraf kawasan ampaian, laluan pejalan kaki, gelanggang sukan dan kemudahan riadah.
“Sebanyak RM180,000 pula diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan asrama dan kemudahan pelajar, siling, tandas, almari, tangki air, kebuk wasap, kolam tadahan, dapur dewan selera dan kawalan makhluk perosak selain pemasangan sistem UPS Server bernilai RM50,000.
“Tambahan itu, RM70,000 diperuntukkan untuk penyelenggaraan elektrik dan kemudahan asas lain serta RM50,000 bagi penyelenggaraan kuarters guru,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. - BERNAMA