KANGAR, 6 November- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani kes buli yang berlaku di sekolah rendah dan menengah di seluruh Perlis.
Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, hanya enam kes buli dilaporkan di sekolah sepanjang tahun ini.
Namun, pihaknya memandang serius setiap kes yang dilaporkan dan usaha pencegahan sentiasa diberikan keutamaan.
Selain mematuhi garis panduan yang ditetapkan KPM, pihaknya turut melantik Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai mentor utama dalam menangani kes buli.
"Kita tidak akan berkompromi. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes buli dan sebagainya, kita minta pihak sekolah melaporkannya segera.
"Ini memang selari dengan arahan KPM. KPM menetapkan kes buli sebagai keutamaan; kita akan menyelesaikannya secepat mungkin agar ia tidak berlarutan. Jika kita cuba sembunyikan, kita bimbang perkara ini akan menjadi lebih buruk.
"Sebenarnya, KPM dan JPN Perlis selari. Buku panduan itu kita rujuk satu persatu, memang menjadi kesalahan jika ada kes yang kita sorokkan," katanya dalam Program Podcast Permuafakatan Perlis: Pencegahan Jenayah Melalui Pendidikan dan Kesedaran Keselamatan di sini.