fb fb fb fb fb

Teknologi, inovasi baharu perkasa kawalan keselamatan di sempadan negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 November- Teknologi dan inovasi baharu perlu diaplikasikan ke arah memperkasa kawalan keselamatan di sempadan negara.

Ini termasuk meningkatkan penggunaan teknologi terkini seperti penggunaan dron serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin menerusi strategi seumpama itu membolehkan penguatkuasaan dan kawalan sempadan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

"Kita melihat peri pentingnya untuk meneroka inovasi baru, seperti misalnya pemasangan cctv ataupun aspek penggunaan dron yang kemudiannya kita memerlukan untuk adakan pusat kawalan.

"Yang paling penting adalah data yang dikutip daripada penggunaan dron ataupun data yang dirakam melalui penggunaan CCTV, bila disalurkan di pusat kawalan..ianya kemudian menjadi satu maklumat penting untuk pasukan penguatkuasa termasuklah PGA pasukan polis dan sebagainya," katanya selepas Majlis Gema Bahasa Dan Sastera (GEBARA) Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pertubuhan Kerajaan, di sini. 

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Kelantan khususnya mengenai isu pendudukan penempatan di sepanjang Sungai Golok.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu penguasaan bahasa Melayu menjadi salah satu prasyarat untuk pertimbangan permohonan kewarganegaraan.

Prasyarat itu disifatkan munasabah bagi memastikan setiap warganegara mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

"Melalui pindaan perlembagaan baru-baru ini, di mana satu daripada nya adalah syarat penguasaan bahasa melayu yang baik, yang munasabah sebagai satu prasyarat untuk kami menimbangkan permohonan bagi menjadi seorang warganegara.

"Jadi itu sebagai satu usaha kami untuk menunjukkan bagaimana perkara di bawah bidang kuasa kementerian iaitu dari hal kewarganegaraan ini boleh saja kita masukkan syarat bahasa itu sebagai bukti bagaimana kita mengangkat kedudukan martabat bahasa bagaimana gelar warganegara itu harus dituruti dengan keupayaan menguasai bahasa kerana identiti warganegara itu juga terkait dekat dengan identiti penguasan bahasa," katanya.

Saifuddin turut menjelaskan prasyarat tambahan itu sebagai salah satu usaha kementerian ke arah memperkukuh kedudukan bahasa Melayu.

Trainee2