fb fb fb fb fb

Program Rehabilitasi Ahli GISBH, 71 pegawai pelbagai agensi terlibat

Foto FB JAKIM

KUALA LUMPUR, 6 November- Seramai 71 pegawai daripada agensi agama dan pelbagai kementerian dilantik sebagai tenaga pengajar dalam Program Rehabilitasi Ahli GISBH.

Antara agensi tersebut ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pegawai Takmir Negeri-Negeri serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan berkata kesemua pelatih telah bersedia untuk memberi komitmen yang tinggi bagi memulihkan akidah ahli GISBH berdasarkan Modul Pemulihan GISBH yang dibangunkan dan diselaraskan oleh JAKIM serta telah dinilai oleh pakar. 

Tambahnya, JAKIM komited untuk menggerakkan segala kepakaran bagi memulihkan ahli GISBH dan beliau berharap tenaga pengajar yang dilantik dapat membimbing dengan hikmah dan berkesan.

Sebagai persediaan akhir, tenaga pengajar tersebut telah dilatih menerusi Kursus Train Of Trainers (TOT) Program Rehabilitasi Ahli GISBH selama dua hari bermula semalam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM