fb fb fb fb fb

JPM berjaya kurangkan penularan COVID-19 dalam penjara

ALOR SETAR, 15 Mac- Jabatan Penjara Malaysia berjaya mengurangkan kes penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan petugas dan penghuni penjara.

Ia ekoran wujudnya Pusat Transit Penerimaan (PTP) dan Penjara Satelit sejak 2021 apabila dikesan terdapat Kluster Penjara seluruh negara bagi tempoh kuarantin khususnya bakal penghuni penjara sebelum mereka ditempatkan.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Ahmad Faudzi Awang berkata terdapat 37 PTP dan 10 Penjara Satelit seluruh negara.

Setiap pusat berkenaan mampu memuatkan antara 300 hingga 500 orang pada satu-satu semasa ketika menjalani kuarantin selama tempoh dua minggu.


(Pengarah Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Ahmad Faudzi Awang ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Kedah)

Di Kedah, terdapat tiga PTP iaitu di Penjara Alor Setar, Sungai Petani dan Pokok Sena manakala satu Penjara Satelit iaitu di Kulim.

"Alhamdulillah, dengan perancangan yang telah kita buat itu, kita berjaya mengurangkan masalah jangkitan itu di bahagian dalam penjara tapi lebih kepada barisan awal dari segi penempatan itu. Daripada situlah kita lihat langkah yang diambil amat berkesan," kata beliau kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Kedah di Penjara Alor Setar, Kedah.

Serah terima tugas antara Pengarah Penjara Kedah, TKP Zawari Abd. Rashid dan Pengarah Penjara Perak TKP Shukri Saad.

Sehingga Isnin, jumlah kes melibatkan penghuni penjara seluruh negara ialah 66,053 orang.

Ia melibatkan banduan seramai 55,726 orang, pegawai penjara 5,340 orang dan keluarga mereka 4,978 orang.

Kes sembuh pula 64,522 orang.

Media Baharu