fb fb fb fb fb

JPKK, jadi pemudah cara program kerajaan negeri dan Persekutuan - Amirudin

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 15 Julai- Kerajaan Selangor mahu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi menjadi pemudah cara dalam menggerakkan program-program kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Selain itu, menjadi wakil dan suara rakyat di peringkat kampung masing-masing di kesemua 373 Kampung Tradisi di sembilan daerah di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata JPKK perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan ADUN kawasan masing- masing, merangka program dan projek pembangunan yang sesuai di kawasan kampung masing-masing.

Kumpulan itu juga adalah jambatan antara kerajaan negeri dan rakyat dalam memastikan keperluan dan aspirasi rakyat didengar dan diambil tindakan.

"Saya maklumkan kepada mereka berhubung memahami tanggungjawab pentadbiran bersama termasuk dengan agensi kerajaan, pusat khidmat masyarakat, Ahli Dewan Negeri (ADUN), penyelaras dan kerajaan negeri."

"Ia penting supaya kita boleh merangka pelan, program dan projek pembangunan yang sesuai dengan keperluan dan permintaan daripada kampung-kampung."

"Kejayaan mereka menguruskan kampung dan kawasan halaman akan memberikan impak yang baik dan positif pada imej kerajaan negeri. Jangan buat kerja lambat, mula bekerja dari sekarang supaya rakyat rasa selesa senang dan raikan semua," kata Amirudin kepada pemberita.

Datuk Seri Amirudin ditemui selepas majlis penyampaian watikah pelantikan kepada 373 individu sebagai Pengerusi JPKK Kampung Tradisi, bagi sesi 2024-2025.

Tempoh perkhidmatan mereka berkuat kuasa bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM