fb fb fb fb fb

JPJ tangkap 'ulat kereta', tawar perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen sah

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli

SEPANG, 8 Mei- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menghidu kegiatan haram segelintir 'ulat kereta', yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan mewah tanpa lesen sah kepada pelancong asing yang tiba di negara.

Aktiviti haram itu telah dikesan dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, kegiatan itu akhirnya terbongkar selepas pihaknya menjalankan Op Khas Ulat dan e-hailing selama tiga hari di kedua-dua terminal.

Pihaknya menahan 10 individu berusia antara 20-an hingga 60-an dalam operasi khas yang bermula sejak Ahad lalu hingga semalam.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Ulat-ulat dikesan di sekitar lapangan terbang. Jadi, sasaran mereka adalah pelancong asing. Kebanyakkannya disasarkan kepada pelancong yang masuk ke negara buat kali pertama atau melancong secara sendiri."

"Maka, ulat-ulat ini sangat mahir dalam mengenal pasti mangsa mereka," kata Aedy kepada pemberita dalam sidang media Op Khas Ulat dan Kenderaan e-Hailing, di sini pada Selasa malam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa JPJ, Dr Azmi Awang dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM