fb fb fb fb fb

JPJ siasat sindiket 'lesen terbang', nafi pegawainya terbabit



KUALA LUMPUR, 29 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius kenyataan yang dimuat naik pemilik sebuah akaun Twitter. yang mendakwa terdapat pegawai JPJ terlibat dalam ‘sindiket lesen terbang’.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya amat kesal dengan tohmahan tersebut yang secara langsung mencalarkan imej dan reputasi jabatan ini.

Menurutnya, pemilik akaun itu turut berkongsi tangkap layar akaun Instagram yang menggunakan nama Smart Driving School di mana ia menawarkan khidmat mendapatkan lesen memandu tanpa perlu hadir ke kelas atau apa-apa jua ujian memandu.

“Modus operandi itu seringkali digunakan sindiket ini melalui platform media sosial dengan mempromosikan ‘iklan lesen terbang’.

“Promosi itu turut menggunakan gambar Lesen Memandu Malaysia bagi meyakinkan orang ramai membuat pembayaran terus secara transaksi dalam talian, bagi mendapatkan lesen memandu.

“Apabila pembayaran dibuat, sindiket ini akan menghilangkan diri daripada mangsa tanpa memberikan lesen memandu yang tidak sah tersebut,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan susulan terhadap dakwaan itu termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

JPJ berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik akaun di media sosial yang menjalankan operasi sindiket penipuan ini, bagi membendung jenayah siber seumpamanya daripada terus berleluasa.

Katanya, JPJ juga ingin menegaskan bahawa jabatan sekali-kali tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang melibatkan warga kerja JPJ yang melibatkan integriti, salah guna kuasa dan rasuah.

"Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan JPJ dalam mengekang penglibatan warga kerja JPJ daripada terlibat aktiviti yang tidak berintegriti, antaranya inisiatif pembangunan sistem yang mewajibkan pengesahan ID penyelia atau pegawai kanan sebelum sebarang transaksi pengeluaran lesen memandu dilaksanakan serta pemantauan dan pengauditan urusniaga melalui garis panduan ditetapkan seperti yang digariskan di bawah ISO 37001 Anti-Bribery Management Systems (ABMS),"katanya lagi.

Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk tawaran lesen memandu yang tidak mengikut prosedur, peraturan dan undang-undang digariskan jabatan itu.

Sebarang keraguan mengenai perkara itu boleh dikemukakan ke emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Media Baharu