fb fb fb fb fb

JPJ perhebat operasi banteras ‘ulat’ di KLIA

Menteri Pengangkutan Anthony Loke

KAJANG, 23 September -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pemantauan dan operasi secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan aktiviti pengangkutan haram dapat ditangani sepenuhnya.

Mengulas mengenai kes seorang pemandu kereta sewa secara haram dipercayai menipu pelancong asing dengan mengenakan tambang lebih RM800, Loke berkata, kumpulan terbabit menyewa kenderaan daripada syarikat atau individu sebelum menggunakannya untuk perkhidmatan pengangkutan secara haram.

"Kita mengenal pasti bahawa mereka bergerak secara berkumpulan dan berkemungkinan terlibat dalam sindiket terancang. Mereka juga menggunakan taktik yang sangat licik, antaranya dengan menyewa kenderaan bagi mengurangkan risiko, kereta yang digunakan bukan milik sendiri.

"Saya telah arahkan JPJ untuk meningkatkan operasi pengintipan di lapangan, terutamanya di KLIA. Bagi kes terbaharu, kita telah membawa kes itu ke mahkamah untuk permohonan lucut hak kenderaan yang digunakan," katanya dalam sidang media Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu JPJ cawangan Kajang di sini.

Loke turut mengingatkan bahawa pemilik syarikat kereta sewa tidak boleh bersikap lepas tangan sekiranya kenderaan mereka disalahgunakan untuk aktiviti yang melanggar undang-undang.

"Pemilik perlu memainkan peranan dengan menyemak latar belakang penyewa. Jika kenderaan mereka digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang, mereka juga boleh dikenakan tindakan dan menanggung akibatnya," tegas beliau.

Sementara itu, Loke berkata, projek pembinaan pejabat baharu JPJ cawangan Kajang bernilai RM22.7 juta telah bermula sejak 10 April lepas dan dijangka siap pada 7 April 2027.

Bangunan dua tingkat berkeluasan 2,678 meter persegi itu menampilkan rekaan moden dengan memberi tumpuan kepada aspek kebolehcapaian dan kemudahan pelanggan.

Ia termasuk kaunter perkhidmatan lebih selesa, bilik mesyuarat, surau, ruang parkir mencukupi serta kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) yang mampu menampung hingga 150 pengunjung pada satu-satu masa.

TETITIA YUSOFF