DILI, 23 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Dili bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste.
Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada pukul 2.43 petang.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Presiden, Dr. Jose Ramos-Horta dan rakan sejawatan, Kay Rala Xanana Gusmao.
Turut hadir, Ketua Protokol Timor-Leste, Duta Juvencio Martins; dan Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Sarjit Singh.
Mengiringi Datuk Seri Anwar dalam lawatan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Perdana Menteri turut disambut dengan persembahan tradisional di pekarangan lapangan terbang.
Perdana Menteri kemudian turut dibawa menaiki kenderaan koleksi peribadi Presiden Ramos-Horta, digelar Moke mengelilingi bandar Dili sebelum ke hotel penginapannya.
Selepas ini, istiadat sambutan rasmi akan berlangsung di Istana Presiden, diikuti kunjungan hormat terhadap Presiden Ramos-Horta.
Jadual padat menanti Perdana Menteri sepanjang dua hari termasuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) syarikat dari kedua-dua negara.
Ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste selepas 22 tahun, juga yang pertama bagi Pengerusi ASEAN.
Lawatan dibuat atas jemputan Perdana Menteri, Xanana Gusmao.
Pada masa sama, memperkukuh aspirasi negara itu untuk menyertai blok ASEAN secara rasmi tahun ini.
Pada 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah lebih RM85 juta.
Daripada jumlah itu, RM84 juta nilai eksport Malaysia ke Timor-Leste direkodkan, manakala import dari negara itu, RM1.62 juta.