fb fb fb fb fb

JPJ Perak lancar kaunter "drive-thru" di Kuala Kangsar

(Kaunter pandu lalu JPJ di Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 4 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak melancarkan kaunter pandu lalu (drive-thru) pertamanya di sini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kaunter pandu lalu yang beroperasi sejak 1 Mac lalu itu menjadi perkhidmatan tambahan kepada perkhidmatan kaunter sedia ada.

Sejak beroperasi, perkhidmatan kaunter berkenaan dilihat membantu melancarkan perkhidmatan JPJ kepada orang ramai terutama penduduk di Kuala Kangsar.

"Ini juga hasrat penduduk tempatan kerana lokasi kita (JPJ) agak jauh. Yang terdekat dari sini (Kuala Kangsar) adalah Ipoh, Taiping dan Gerik," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kaunter Pandu Lalu Stesen Penguatkuasaan di sini.

Perak menjadi negeri keempat mewujudkan kaunter pandu lalu elepas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah.

Kaunter pandu lalu JPJ menyediakan perkhidmatan pembaharuan lesen kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu Malaysia, pertukaran lesen percubaan ke lesen memandu Malaysia dan  pembayaran saman terkini.

(Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan (beruniform) menyaksikan operasi kaunter
pandu lalu JPJ di Kuala Kangsar)

Media Baharu