fb fb fb fb fb

JPJ Pahang pantau 34 kawasan sering berlaku kemalangan sempena cuti TBC

(FOTO HIASAN)

KUANTAN, 18 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan memantau secara serius 34 kawasan yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri itu bagi mengurangkan jumlah kemalangan semasa tempoh musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Jumlah kawasan itu bertambah berbanding 32 kawasan tahun lalu, selepas dua lagi kawasan yang sering berlaku kemalangan dikesan iaitu di Bentong dan Raub.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata sepanjang tempoh tersebut pihaknya akan mempergiatkan pemantauan serta advokasi kepada pengguna jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan.

(Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin)

"Kawasan ini kita akan pantau secara serius untuk kita kurangkan jumlah kemalangan semasa tempoh perayaan Tahun Baharu Cina ini. Semua pengguna lebuh raya adalah dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perialanan dan papan tanda arah yang disediakan.

“Ini berikutan negeri ini merupakan pintu masuk ke negeri-negeri lain di Pantai Timur dan dijangkakan jumlah kenderaan yang akan membanjiri jalan raya akan bertambah menjelang hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan bagi kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023 peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pahang, di sini.

Tambah Kamarul, JPJ Pahang juga akan membuat rondaan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina membabitkan beberapa lokasi antaranya di Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1), Jalan Kuantan-Kemaman, dan Jalan Kuantan-Gambang.

Rondaan juga dilakukan di Jalan Kuantan-Pekan, Jalan Kuantan-Temerloh, Jalan Temerloh-Jerantut, Jalan Bentong-Raub- Lipis-Lebuhraya CSR dan Jalan
Kuantan-Segamat.

Rondaan turut melibatkan Jalan Simpang Jengka-Bandar Pusat Jengka, Jalan Paloh Hinai-Bandar Pekan, Jalan Bukit Ibam-Muadzam.Shah-Kuala Rompin, Jalan Bahau-Keratong dan sekitar Cameron Highlands.

Media Baharu