fb fb fb fb fb

Polis Kelantan terima lebih 100 permohonan bantuan polis pengiring untuk pengeluaran BAP

(FOTO HIASAN)

KOTA BHARU, 18 Januari - Polis Kelantan menerima lebih 100 permohonan dari pihak sekolah di seluruh negeri ini yang memohon bantuan polis pengiring semasa proses pengeluaran wang bantuan awal persekolahan (BAP) sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata permohonan dibuat guru besar bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan pengetua untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dari semua daerah.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan kontinjen di semua Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh negeri agar terus memberi bantuan polis pengiring kepada sekolah yang memerlukan.

(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

“Bukan semua perkara memerlukan polis pengiring. Tetapi kita akan melihat dan mengkaji risiko bagi setiap tugasan yang memerlukan kawalan keselamatan.

“Sekiranya pihak sekolah memerlukan kawalan polis pengiring, mereka boleh terus memohon. Kita akan menyediakan pengawai pengiring untuk membantu,” katanya.

Datuk Muhamad Zaki bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Program Engagement Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) / Siswa Siswi Koreksional (Siskor) / Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Sispa)/ Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat dan Laut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, Binjai, di sini.

Tambah Muhamad Zaki, selain sekolah, agensi-agensi kerajaan turut membuat permohonan bantuan polis pengiring bagi mengiringi tugasan yang melibatkan aspek kewangan.

Media Baharu