SUNGAI BESI, 7 Julai- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Op Khas Hari Raya Aidiladha yang akan dilaksana hingga 13 Julai bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang pulang ke kampung bersempena cuti perayaan.
Fokus diberi kepada perkhidmatan kenderaan awam dan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli, operasi yang julung kali diadakan JPJ ini bertujuan memastikan keselamatan perjalanan pengguna jalan raya dan kelancaran trafik selain mengurangkan kadar kemalangan dan kematian pada musim perayaan.
"Jadi JPJ memfokuskan tindakan yang lebih tegas ke atas 9 kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat lalu lintas, ketiga memotong di garisan berkembar, keempat memandu di lorong kecemasan, kelima memotong barisan, keenam menggunakan telefon bimbit semasa memandu, ketujuh tidak memakai tali pinggang keledar ataupun topi keledar, 8 membawa lebih muatan dan yang terakhir muatan bahaya," katanya dalam sidang media operasi khas itu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini.
(Aedy Fadly Ramli ditemui dalam sidang media operasi itu di Plaza Tol Sungai Besi)
JPJ juga membuat pemeriksaan bas di 28 terminal bas utama di seluruh negara melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang bas sepanjang OP ini.
Operasi di Plaza Tol Sungai Besi bermula 7 malam tadi.
Setakat 10 malam, sebanyak 330 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala sembilan kenderaan melibatkan lima motosikal dan empat kereta disita kerana cukai jalan tamat tempoh dan pemandu tidak memiliki lesen.
"Dalam operasi ini juga, dua lelaki berusia 30-an ditahan kerana positif dadah," katanya.
Tambah beliau JPJ turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sepanjang operasi khas ini.
Orang ramai diminta melaporkan sebarang kesalahan jalan raya melalui aplikasi JPJ e-ADUAN@JPJ yang dilancarkan pada April lepas.