fb fb fb fb fb

JPJ keluarkan 14,527 notis saman kepada pemandu warga asing dalam 20 hari Op Pewa

(Op Pewa)

KUALA LUMPUR, 24 September- Sebanyak 14,527 notis kepada warga asing telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam tempoh 20 hari Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) berlangsung di seluruh negara.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya memandang serius serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya terutamanya warga asing yang melanggar peraturan jalan raya.

"6,268 daripada mereka tiada lesen memandu atau 43.1 peratus, 2,667 tiada perlindungan insurans, 2657 LKM tamat tempoh dan 1,948 lain-lain kesalahan teknikal, ubahsuai motosikal dan sebagainya.

"Memandangkan mereka yang tidak mempunyai lesen ini tidak faham tentang undang-undang jalan raya di negara kita. Jadi, mereka merupakan satu bentuk risiko yang paling tinggi kepada penguna-pengguna jalan raya yang lain terutamanya warga asing,"katanya.

Jelasnya, tindakan tegas telah diambil dengan menyita kenderaan serta menyerahkan warga asing berkenaan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Operasi Bersepadu diteruskan di LRT Bangsar bermula pukul 8.30 sehingga 12.00 tengah malam pada Ahad yang membabitkan 100 pegawai dan anggota JPJ Wilayah Persekutuan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


(Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan)

Media Baharu