fb fb fb fb fb

JPJ Kelantan tidak berkompromi isu kegagalan perbaharui lesen memandu

KOTA BHARU, 14 Julai- Terlupa memperbaharui lesen memandu antara alasan yang diberikan pemandu walaupun tarikh akhir moratorium sudah dilanjutkan sehingga Jun lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, dalam tempoh empat hari operasi bersepadu sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA), sebanyak 868 notis saman dikeluarkan pihaknya berkaitan pelesenan termasuk tidak memperbaharui lesen dan tiada lesen memandu.

Tegas pihaknya, jabatan tidak sesekali berkompromi dengan alasan berkenaan memandangkan pelanjutan masa sudah lama diberikan selain hebahan telah dibuat sebelum tarikh moratorium ditutup.

"Sepanjang empat hari kita melaksanakan operasi khas perayaan Hari Raya Aidiladha ini sejumlah 5,432 kenderaan kita telah periksa jumlah kenderaan diambil tindakan sebanyak 575 jadi jumlah keseluruhan notis yang dikeluarkan sepanjang empat hari sebanyak 1,116 notis," kata Mohd Misuari menyatakan perkara itu kepada pemberita pada Op HRAA 2022 di jejambat Jalan Pasir Hor-Kubang Kerian, malam tadi.


(Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah menjelaskan
perkara berkenaan kepada media pada Op HRAA 2022 di Kubang Kerian, malam tadi)

Beliau berkata sepanjang empat hari operasi bersepadu berlangsung, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada agensi berkaitan iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dengan kekuatan anggota melebihi 400 pegawai JPJ negeri ini, empat kaedah dilakukan iaitu rondaan, pemeriksaan bas di terminal, penyamaran sebagai penumpang bas serta sekatan jalan raya.

Dari segi pemeriksaan di terminal pula sebanyak 318 bas diperiksa dan 32 pemandu sudah menjalani ujian saringan.

Selain itu, bagi notis PG1 Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu larangan penggunaan kenderaan sebanyak 53 notis dikeluarkan manakala 128 notis pula direkodkan di bawah Seksyen 61(1) APJ 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan.

Media Baharu