fb fb fb fb fb

JPJ dan PDRM selaras kompaun jalan raya mulai 2026

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/RTM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Bermula 1 Januari 2026, kadar dan kaedah kompaun saman trafik akan diselaraskan antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan pelaksanaan undang-undang jalan raya yang seragam dan adil di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri pada 17 Oktober lalu selepas mendapati terdapat perbezaan ketara dalam kaedah kompaun serta pelaksanaan tindakan antara kedua-dua agensi terbabit.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan menggantikan pemberian diskaun berasaskan program atau kempen khas dengan prinsip “The Less You Delay, The Less You Pay.

Jelas beliau, berdasarkan prinsip tersebut, kadar kompaun adalah lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal sekali gus bertujuan memberi insentif kepada mereka yang bertanggungjawab menjelaskan saman dengan segera.

"Walau bagaimanapun, kadar insentif ini tidak terpakai bagi kategori kesalahan yang tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable, NC), seperti tiada insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM), dan mempamerkan LKM palsu.

"Jika bayaran dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari, diskaun 50% diberikan; 16 hingga 30 hari, diskaun 33%; 31 hingga 60 hari, kadar kompaun adalah penuh (contohnya RM300 jika kadar maksima RM300); manakala bayaran melebihi 61 hari akan membawa kepada tindakan mahkamah dan senarai hitam", katanya pada sidang media Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD