fb fb fb fb fb

JPJ bangunkan sistem eBaki, tawar semula nombor pendaftaran tidak terjual

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan sistem eBaki sebagai platform untuk menawarkan semula baki nombor pendaftaran kenderaan yang tidak terjual/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan sistem eBaki sebagai platform untuk menawarkan semula baki nombor pendaftaran kenderaan yang tidak terjual.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata sistem tersebut dibangunkan di bawah skop penambahbaikan (revamp) sistem sedia ada mySIKAP, bagi memperluas saluran jualan nombor pendaftaran kepada orang ramai secara lebih efisien dan telus.

0810 GULUNG LKAN HASBI eBAKI 2Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah/RTM

“Sistem ini merupakan salah satu saluran tambahan yang akan digunakan oleh JPJ bagi menawarkan semula nombor-nombor baki yang ada untuk dijual kepada orang ramai. Kementerian Pengangkutan melalui JPJ menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dilaksanakan secara telus, adil dan efisien.

"Usaha penambahbaikan seperti pembangunan sistem eBaki akan diperkasa demi mempertingkatkan integriti, kecekapan serta hasil kerajaan,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, JPJ turut mengambil maklum berhubung kewujudan pihak tertentu yang menjual semula nombor pendaftaran selepas memenangi bidaan melalui Sistem JPJeBid.

Datuk Hasbi memaklumkan, sistem JPJeBid dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dan hanya pembida yang berdaftar serta disahkan identiti sahaja dibenarkan menyertai bidaan tersebut.

Beliau turut menegaskan, JPJ tidak pernah mengiktiraf sebarang penjualan semula nombor pendaftaran di platform tidak rasmi, dan orang ramai disaran mendapatkan nombor pendaftaran melalui saluran rasmi JPJ bagi menjamin ketelusan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN