PUTRAJAYA, 8 Oktober - Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden pemintasan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) oleh rejim Zionis Israel yang turut membawa rakyat Malaysia, secara tidak sah di perairan antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan di media sosial menegaskan tindakan itu adalah satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
Beliau turut menyokong kenyataan dan tuntutan Perdana Menteri agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak dikasari sepanjang tempoh tahanan.
Sementara itu, seluruh umat Islam di negara ini diseru agar terus mendoakan keselamatan dan pembebasan segera kesemua aktivis serta dilindungi daripada segala bentuk kezaliman.
Tambahnya, Kerajaan MADANI akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka.