fb fb fb fb fb

JPA perlu berani alami perubahan untuk kekal relevan


KUALA LUMPUR, 13 Januari- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu ke arah pembaharuan seiring perkembangan teknologi bagi memastikan ia kekal relevan sebagai peneraju perkhidmatan awam utama negara.

Jelas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, setiap perubahan itu perlulah dilakukan dengan berani.

"Jika kita masih ragu-ragu untuk bergerak ke hadapan serta tidak berani melakukan perubahan selaras dengan perkembangan global yang begitu pesat dan dinamik, kita khuatiri JPA tidak lagi menjadi relevan sebagai peneraju dalam perkhidmatan awam.

"Atas kesedaran tersebut serta rasa tanggungjawab terhadap perkhidmatan awam dan negara ini, saya berdoa dan menaruh harapan JPA terus mengekalkan legasi serta kekuatan sekarang ini," beliau berucap pada Majlis Setulus Budi Memperkasa Pertiwi di Putrajaya yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi JPA.

"Saya berharap kita semua akan terus bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan yang jitu atau keluarga yang muhibah bagi melonjakkan kecemerlangan perkhidmatan awam di Malaysia," jelasnya.

Tan Sri Mohd Khairul Adib akan bersara wajib dan akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 16 Januari ini.

Beliau yang menabur bakti selama 34 tahun dalam Perkhidmatan Awam dari 12 Januari 1988 telah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selama 2 tahun 3 bulan dan 14 hari.

Esok Tan Sri Mohd khairul Adib dijadual akan mengetik kad perakan waktu buat kali terakhir di pejabatnya di Putrajaya.

Media Baharu