fb fb fb fb fb

JPA: Itu video lama simulasi kesiapsiagaan serangan provokatif

Tular rakaman video lama berdurasi 1:10 minit melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dimuat naik oleh sebuah portal tempatan

KUALA LUMPUR, 12 April - Video tular bertajuk ''Tanya pasal kuarters je dah kena macam tu depan KSN'' merupakan video lama melibatkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan video tersebut dikongsikan oleh sebuah portal tempatan dengan niat memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan.

"JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan untuk melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam di negara ini," menurut kenyataan JPA hari ini.

Susulan itu, orang awam dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalarkan imej kerajaan dan perkhidmatan awam sebagai barisan hadapan negara.

Terdahulu, tular rakaman video lama berdurasi 1:10 minit melibatkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dimuat naik oleh sebuah portal tempatan.

Dalam video tersebut, seorang pegawai awam dihalang oleh sekumpulan polis bantuan selepas kepada Zuki Ali mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan di dalam suatu majlis dihadiri oleh beliau.

"Tindakan dengan memuat naik sebarang kandungan palsu yang mengundang salah faham dan mengelirukan masyarakat boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 kepada yang terlibat," kata kenyataan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN