ISKANDAR PUTERI, 10 Mac – Johor menyasarkan sifar miskin tegar menjelang suku pertama tahun ini, dengan usaha berterusan untuk membantu 235 isi rumah yang dikenal pasti setakat 3 November tahun lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menggembleng semua sumber bagi mencapai sasaran tersebut.
"Itu hasrat kita, dan kita akan menggembleng semua kekuatan. Kita yakin boleh menurunkan jumlah ini, tetapi pencapaian terbaik yang kita mahu ialah sifar miskin tegar.
"Kadang-kadang, kita perlu akui bahawa kerja ini mungkin mengalami kesulitan. Namun, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Menjelang 25 Mac ini, kita menyasarkan pengurangan ketara daripada jumlah 235 isi rumah tersebut," katanya selepas Taklimat Pembasmian Miskin Tegar dan Program Dapur Kasih Johor 2025 di Kota Iskandar.
Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa kawasan Dewan Negeri di Johor mencatatkan kadar miskin tegar tertinggi, dengan Endau merekodkan 19 isi rumah, diikuti Sedili (18) dan Panti (15).