fb fb fb fb fb

Pelaksanaan paparan harga ubat di klinik dan hospital swasta ditangguh

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pelaksanaan penguatkuasaan paparan harga ubat di klinik dan hospital swasta ditangguhkan sehingga 1 Mei ini, susulan sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kumpulan Pengamal Perubatan Am (GP) Swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata penangguhan tersebut dibuat setelah mempertimbangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh kumpulan GP swasta baru-baru ini.

"Ada sedikit masalah yang dibangkitkan, dan kami telah mengadakan sesi libat urus dengan GP swasta yang memohon moratorium bagi menangguhkan pelaksanaan ini.

"Saya faham mengapa mereka mahu saya menangani Jadual 7 dalam Akta 586, dan saya mengambil komitmen untuk menyemak semula yuran konsultasi GP, kerana ia sudah lama tidak dikaji," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Pada November 2024, Dr. Dzulkefly mengumumkan bahawa kerajaan akan mewajibkan semua kemudahan penjagaan kesihatan swasta untuk memaparkan harga ubat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan ketelusan kos rawatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD