fb fb fb fb fb

Tindakan hina agama dan perkauman tidak akan dibiarkan

Menteri Digital, Gobind Singh Deo / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Menteri Digital, Gobind Singh Deo, sekali lagi menegaskan keperluan untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mencetuskan kebencian agama dan perkauman.

Beliau berkata, isu tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat lepas, di mana keputusan telah dibuat untuk memperkukuh langkah penguatkuasaan bagi menangani kes sedemikian.

"Kenyataan berkaitan perkara ini juga telah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pada hari yang sama, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya isu ini diberi perhatian serius," katanya.

Gobind turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan kenyataan diambil daripada beberapa individu. Namun, masih ada pihak yang mengulangi tindakan tersebut, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Beliau menegaskan, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani kesalahan sebegini, namun pelaksanaannya perlu lebih tegas dan berkesan.

"Kita tidak boleh membiarkan kenyataan yang menghina agama dibiarkan tanpa tindakan. Langkah undang-undang mesti diambil bagi memberi mesej jelas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana tindakan menghina agama," tegasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE