fb fb fb fb fb

Johor sasar 1,245 stesen EV menjelang 2030

FOTO RTM

KULAI, 15 April- Kerajaan Johor bakal melancarkan Polisi Hijau Negeri Johor pertengahan tahun ini, sebagai antara langkah utama ke arah merealisasikan visi Hijau Johor 2030.

Polisi yang telah diluluskan menerusi mesyuarat kerajaan negeri itu memberi fokus kepada tiga teras utama kelestarian alam sekitar, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, serta pemerkasaan penggunaan tenaga solar.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri menggalakkan kerjasama strategik antara sektor swasta dan pemain industri dalam membawa masuk teknologi hijau ke Johor.

“Kami mahu pembangunan dan kelestarian berjalan seiring. Banyak teknologi baharu boleh diguna pakai, termasuk pengangkutan tanpa bahan api fosil seperti EV yang lebih mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smart EV Motion dan Sun Bus Tech Facility di Senai, hari ini.

Melalui MoU itu, empat syarikat teknologi tinggi dari China dan Jepun akan menyumbangkan kepakaran mereka dalam memperkasa pembangunan hijau Johor.

Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, Johor menyasarkan pemasangan 1,245 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri menjelang 2030, peningkatan ketara berbanding 377 stesen sedia ada ketika ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE