fb fb fb fb fb

ASEAN+3 kekal kukuh hadapi cabaran global

Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utama Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Allen Ng

KUALA LUMPUR, 15 April- Meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, rantau ASEAN+3 kekal berada dalam kedudukan kukuh, dipacu oleh permintaan domestik yang mantap dan dasar fiskal yang fleksibel.

Menurut Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utama Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Allen Ng, faktor penggunaan dan pelaburan terus menyokong pertumbuhan ekonomi serantau secara konsisten.

“Kebergantungan terhadap pasaran luar seperti Amerika Syarikat juga semakin berkurang.

“Eksport ASEAN+3 ke pasaran AS menurun daripada 24% pada tahun 2000 kepada kurang 15% hari ini,” katanya semasa Pelancaran Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 yang diadakan secara dalam talian.

Sebaliknya, perdagangan intra-rantau menunjukkan peningkatan ketara dan kini merangkumi hampir 45% daripada jumlah eksport keseluruhan rantau tersebut petanda kerjasama ekonomi serantau yang semakin erat.

Ng turut menjelaskan bahawa kebanyakan negara anggota mempunyai dasar fiskal dan monetari yang cukup fleksibel, membolehkan mereka bertindak balas secara efektif terhadap kejutan ekonomi luar jangka.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE