fb fb fb fb fb

AADK perkasa strategi tangani ancaman fentanyl sebelum jadi krisis

FOTO HIASAN

KAJANG, 15 April- Ekoran pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung cubaan menyeludup masuk dadah sintetik berbahaya, fentanyl, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini mempergiat langkah pencegahan secara menyeluruh bagi mengekang ancaman ini sebelum ia menjadi krisis kesihatan awam seperti di Amerika Syarikat dan Kanada.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, agensinya sedang memperkukuh keupayaan sedia ada, termasuk latihan intensif kepada pegawai rawatan dan pemulihan dadah, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM.

"Kita tak boleh lagi guna pendekatan lama. Dadah jenis baharu ini berevolusi, dan kita kena bersedia dari segi rawatan, pencegahan dan penguatkuasaan. Pegawai kita akan dilatih secara spesifik untuk tangani kes berkaitan fentanyl," katanya.

Fentanyl, dadah sintetik yang dihasilkan secara makmal, dilaporkan 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dos kecil mampu membawa maut dan penyalahgunaannya kini mencetuskan gelombang kematian akibat overdose di beberapa negara maju.

Menurut Datuk Ruslin, pihaknya memandang isu ini bukan hanya dari sudut penyalahgunaan dadah, tetapi sebagai ancaman keselamatan awam yang memerlukan tindakan segera dan kolaboratif.

Beliau ditemui media ketika Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 di Ibu Pejabat AADK di Kajang pagi tadi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE