fb fb fb fb fb

Johor pindah lebih 1,200 setinggan untuk laluan ETS

Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah)

JOHOR BAHRU, 14 November- Kerajaan Johor telah memindahkan 1,265 perumahan setinggan sejak 2011 bagi memberi laluan kepada Projek Jajaran Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dijangka siap pada 2025.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja pemindahan juga melibatkan 65 rumah ibadat termasuk 41 buah kuil.

Pemindahan tiga kuil terakhir telah dilaksanakan di Taman Eko Flora petang tadi melibatkan Kuil Dewa Sri Maha Kaliamman, Kuil Arulmigu Sri Siva–Lingesh–Warar dan Kuil Arulmigu Sri Muniswaran.

Kesemua kuil tersebut dipindahkan selepas mengambil kira faktor keselamatan awam, serta berada dalam kawasan laluan projek.

Kerja mengosongkan tapak di kuil terbabit akan bermula pada 16 November ini, manakala beberapa kuil lain telah mencari tapak sementara sebelum berpindah ke Eko Flora.

"Prosesnya panjang, proses negosiasi itu panjang, bermula daripada 2011 sampailah sekarang 2023.

"Alhamdulilah kita dah sediakan segala infrastruktur yang mencukupi, agar pemindahan ini dapat berlaku dengan sempurna.

"Kita harapkan projek ini dapat berjalan dengan lancar, kita nak siapkan jugak pada 2025," katanya kepada pemberita semasa melawat tapak pemindahan kuil di Eko Flora di sini.

Projek ETS di Johor telah bermula pada 1 Disember 2016 merangkumi jarak 192 kilometer dan menelan kos RM8.9 billion.

Sebanyak 11 stesen akan dibina sepanjang jajaran ETS di Johor iaitu Segamat, Genuang, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Rengam, Layang–Layang, Kulai dan Kempas Baru.

SITI AISHAH BINTI MD ISA