JOHOR BAHRU, 22 Julai- Kerajaan Johor memperuntukkan RM54.7 juta bagi membina dan membaik pulih rumah untuk golongan miskin tegar dan kurang berkemampuan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan menerusi Belanjawan Johor 2024 itu adalah bagi inisiatif pembinaan 328 unit rumah yang melibatkan RM32 juta, dan RM22.79 juta bagi inisiatif membaik pulih 1,368 unit rumah.
Dalam hantaran di Facebooknya hari ini beliau berkata, kerajaan negeri komited dan sentiasa menitikberatkan penyediaan kediaman yang selesa Bangsa Johor.
"Alhamdulillah saya telah turun ke Segamat bagi melihat sendiri inisiatif ini. Saya ke rumah Mohd Basari Dahlan iaitu penerima inisiatif Bina Baharu Rumah, di Jalan Ahmad Felda Tenang, Labis. Terharu dan begitu gembira - terukir di wajah beliau serta keluarga apabila rumah baharunya siap dibina dengan kos RM65,000," katanya.
Onn Hafiz berkata inisiatif pembinaan rumah disasarkan bagi golongan kurang berkemampuan yang memiliki tanah sama ada secara tunggal atau secara bersama, dengan kerajaan membantu untuk membina rumah di atas tanah berkenaan.
"Saya kemudiannya ke lokasi penerima inisiatif Baik Pulih Rumah di Kampung Juaseh, Pekan Air Panas, Labis. Dengan kos RM15,000, rumah milik Encik Dollah Alias telah siap dibaik pulih melibatkan pembaikan atap dan bumbung, serta kerja-kerja mengecat dan pembersihan kawasan sekitar
"Semua ini berkat kerjasama semua pihak yang hasilnya telah memberi manfaat buat mereka yang memerlukan," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Tenang, Haslinda Salleh, Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman, serta semua pihak yang terlibat.