KOTA TINGGI, 18 Ogos- Johor menjadi negeri pertama mempunyai dua lapisan jawatankuasa kelulusan pusat data, bagi menilai aspek teknikal, pelaburan asing, peluang pekerjaan serta perancangan bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pendekatan itu turut menilai bekalan air, elektrik, teknologi serta sumber air alternatif.
"Beberapa minggu yang lalu, kami turut menawarkan bekalan air alternatif termasuk daripada loji kumbahan, air sungai dan air bawah tanah. Kami juga menggalakkan pemaju pusat data menggunakan teknologi mesra alam, seperti sistem penyejukan air atau sistem kitar semula penyejukan yang dapat menjimatkan penggunaan air.
Dengan teknologi ini, air sedia ada boleh digunakan sehingga enam kali dan tidak dibazirkan sekali guna sebelum dilepaskan ke sungai," kata Mohamad Fazli kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan ke LRA Semanggar, di sini.
Johor juga menetapkan kadar kecekapan air kepada 1.8 liter bagi menyejukkan 1 kilowatt(kW) untuk satu Unit Pemprosesan Pusat (CPU) Pusat Data.