fb fb fb fb fb

Johor jalin kerjasama pendidikan dengan Stanford, MIT

Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 30 September- Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan dan inovasi serantau apabila menjalin kerjasama dengan dua universiti terkemuka dunia, Stanford University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Kerjasama itu sejajar titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan kolaborasi antarabangsa dalam memperkasa kebolehsaingan anak muda Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbincangan di Stanford memberi tumpuan kepada bidang kecerdasan buatan (AI), kelestarian dan peralihan tenaga.

"Stanford turut berkongsi model ekosistem penyelidikan dan bakat yang membentuk kejayaan Silicon Valley, yang boleh dijadikan inspirasi untuk memperkukuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, pertemuan dengan MIT menekankan bidang tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi, ekonomi digital dan kejuruteraan selain AI.

"Antara potensi kerjasama yang dibincangkan termasuk memperkukuh fakulti AI dan kejuruteraan di Johor, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta membangunkan ekosistem start-up berasaskan model kejayaan Kendall Square di MIT," ujarnya lagi.

Menurut Datuk Onn Hafiz, kerjasama dengan kedua-dua institusi itu akan menjadi asas kukuh dalam melahirkan bakat bertaraf dunia, mempercepat kemajuan teknologi, dan memastikan manfaatnya dirasai rakyat Johor.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN