JOHOR BAHRU, 22 Jun- Johor kembali mendominasi perdagangan eksport dan import negara apabila mencatatkan prestasi perdagangan RM247.59 juta setakat Januari hingga April 2023.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata berdasarkan rekod semasa Johor menyumbang hampir 30% jumlah perdagangan eksport negara melalui sektor petrokimia dan ekonomi digital.

(Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)
"Johor adalah satu contoh di mana daripada segi prestasi penyelarasan atau pelaksanaan adalah yang tertinggi di Malaysia.
Contohnya bila pelabur datang kadang-kadang ada yang tidak dapat dilaksanakan tetapi berdasarkan rekod prestasi, di Johor hampir 98% daripada projek yang diumumkan telah dapat dilaksanakan," kata Zafrul kepada pemberita selepas selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di Kota Iskandar, Johor.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menambah, mekanisme pemudah cara dalam urusan perdagangan dan pelaburan merupakan antara faktor penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tersebut.
"Bagaimana kita mahu membantu mereka kerana masa adalah wang.
Maka daripada segi pendokumentasian atau pun untuk mereka berniaga di sini kalau dulu mengambil masa yang lama mungkin enam bulan ke atas, hari ini kita telah kurangkan kepada tiga bulan dan ke bawah, Insya-Allah," kata Onn Hafiz kepada pemberita, hari ini.

(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)