JOHOR, 2 Januari- Kerajaan Johor bersetuju memberikan cuti pada 6 Januari ini sebagai cuti ganti kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di negeri itu.
Bagaimanapun, menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetap diteruskan seperti yang telah dijadualkan.
"Untuk 6 haribulan ini, Johor sememangnya bercuti berdasarkan keputusan kerajaan negeri. Namun, pelajar SPM akan meneruskan peperiksaan seperti biasa.
"Kita tidak mahu mengganggu momentum mereka ketika menjawab peperiksaan, walaupun sekolah bercuti.
"Peperiksaan SPM akan diteruskan, dan guru-guru yang bertugas juga akan diberi ruang untuk mengambil cuti ganti selepas selesai peperiksaan yang mereka pantau," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan tiada kekangan bagi umat Islam menunaikan solat Jumaat, sempena dengan pertukaran cuti hujung minggu bermula minggu ini.
Ia berikutan waktu pelepasan rehat yang panjang diberikan dan terdapat sekolah-sekolah telah dinaik taraf untuk melaksanakan fardu ain itu.