KUALA LUMPUR, 2 Januari- Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Pelan Strategik Kementerian 2025 bawah inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu disemak semula supaya selari dengan fokus RMK-13.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif dilaksanakan bagi menilai pencapaian serta memperbaiki kelemahan dalam perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.
Selain penilaian dalaman, kerjasama dengan badan penyelidikan juga perlu dijalankan untuk memastikan penilaian program dan inisiatif dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Untuk lebih memahami maklum balas rakyat, saya ingin mengarahkan UniKL (Universiti Kuala Lumpur) bagi menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap kepuasan rakyat terhadap penyediaan keperluan asas, kemudahan asas dan usaha memangkin sosioekonomi kawasan desa," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, dapatan kajian adalah penting untuk memastikan perancangan yang dibuat kekal relevan dan berimpak.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga mahu KKDW melaksanakan kerjasama strategik melalui pendekatan rentas fungsi.
Jelasnya, fokus diberikan kepada hasil kerja yang terselaras dan berimpak tinggi, selain penggunaan sumber secara lebih berkesan.
Inisiatif tersebut akan dilaksana melalui tiga kluster utama, iaitu Kluster Modal Insan, Kluster Ekonomi dan Kluster Usahawan.
"Kita menyelaraskan peranan institusi seperti JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli ), KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat), MARA (Majlis Amanah Rakyat), INFRA (Institut Kemajuan Desa), dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran, dan pembangunan kapasiti masyarakat desa, termasuk TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional)," katanya merujuk Kluster Modal Insan.
MARA Corporation dan anak-anak syarikat Lembaga Kemajuan Wilayah bersama Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) membentuk Kluster Ekonomi bagi pembangunan hartanah dan pelaburan.
Manakala Kluster Keusahawanan pula akan memberi tumpuan usaha membimbing usahawan luar bandar lebih berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.