fb fb fb fb fb

Monsun Timur Laut: 513 calon SPM di Terengganu berisiko terjejas banjir

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong / BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 2 Januari- Seramai 513 calon Sijil Pelajaran Malaysia SPM di Terengganu berisiko terjejas sekiranya banjir berlaku dalam tempoh peperiksaan yang bermula hari ini sehingga 6 Februari depan.

Kesemua calon SPM tersebut adalah pelajar di sekolah yang berisiko banjir atau laluan ke sekolah ditenggelami air di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kemaman.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata enam sekolah terjejas dikenal pasti iaitu Sekolah Menengah Agama SMA Mahmudiah 122 calon, Sekolah Menengah Imtiaz 66 orang, 87 calon Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Menerong dan 49 calon SMK Jenderis di Hulu Terengganu.

Di Kemaman pula melibatkan 90 calon di SMK Air Putih manakala SMK Padang Kemunting Kuala Nerus seramai 99 calon.

Pihaknya yakin dengan persiapan rapi dilakukan termasuk Operasi Payong akan melancarkan peperiksaan SPM 2024 kali ini.

"Kita bersedia sekiranya Monsun Timur Laut ini menyebabkan calon-calon ini menghadapi masalah tapi apa pun kita diperingkat kementerian, jabatan dan peringkat PPD, kita harap dan berdoa supaya Allah berikan cuaca yang baik khususnya negeri Terenggan supaya calon-calon SPM ini lebih selesa berada di dewan peperiksaan," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE