KUCHING, 2 Januari- Seramai 35,424 calon mula menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di seluruh negeri Sarawak, hari ini.
Mengikut pecahan, seramai 33,040 calon dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan serta sekolah agama bantuan kerajaan, 371 calon sekolah bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 919 calon sekolah swasta berdaftar, 1,016 calon persendirian dan 78 calon sekolah menengah agama rakyat.
Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli berkata, sebanyak 255 pusat peperiksaan telah diaktifkan bagi pengendalian peperiksaan bertulis melibatkan 207 buah sekolah di seluruh negeri.
Jelasnya, peperiksaan SPM kali ini membabitkan seramai 2543 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancarannya.
Bagi persediaan menghadapi bencana banjir, Omar berkata, calon akan dipindahkan ke pusat peperiksaan yang lain jika terdapat pusat peperiksaan yang terjejas.
Beliau berkata demikian semasa ditemubual sebelum peperiksaan bermula, di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Kuching pagi ini.
Sementara itu di Sabah, Seramai 39,548 orang calon SPM di negeri itu menduduki ujian bertulis di 315 pusat peperiksaan di seluruh Sabah bermula hari ini hingga 6 Februari depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, daripada jumlah itu, seramai 35,266 merupakan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Selain itu, seramai 472 calon adalah dari sekolah agensi kerajaan (MRSM), 234 calon dari sekolah menengah agama negeri, 1,185 calon dari sekolah swasta berdaftar dan seramai 2,425 calon adalah calon persendirian.
"Kita telah mengenal pasti pusat-pusat yang berisiko untuk dilanda banjir dan bencana alam, setakat hari ini saya telah dimaklumkan oleh Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah bahawa tiada satu sekolah pun yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau.
Jelasnya lagi, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM kali ini.
Tambahnya, calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.