fb fb fb fb fb

SPM: 80 pusat peperiksaan alternatif disediakan di Pahang jika berlaku banjir

FOTO HIASAN / BERNAMA

RAUB, 2 Januari- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang menyediakan 80 pusat alternatif sebagai persediaan berdepan banjir untuk menempatkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas.

Pengarahnya, Datuk Amzan Abd Malek berkata, jabatan itu telah mengenal pasti 63 pusat berisiko banjir dan 40 pusat berisiko laluan terjejas di negeri itu.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan Ops Payung untuk menggerakkan pasukan bagi memindahkan calon- calon yang terkesan ke pusat peperiksaan yang berhampiran, jika berlaku banjir.

"Di kawasan berisiko banjir ini, kita memang bersedia contohnya, ada 63 pusat berisiko yang mungkin terjejas dengan banjir, jadi apa yang kita buat ialah ada 80 pusat alternatif yang kita sediakan, " katanya.

Beliau ditemui media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di Raub,Pahang .

Beliau yang meninjau hari pertama SPM 2024 di sekolah tersebut menyaksikan seramai 85 calon menduduki peperiksaan tersebut.

Ujarnya, jabatan itu juga menyediakan  334 guru bimbingan kaunseling (GBK) yang bersedia menjalankan tugas jika terdapat guru atau petugas peperiksaan tidak dapat hadir kerana banjir.

Dalam pada itu, beliau memberitahu seramai 20,401 calon SPM termasuk 598 Orang Asli di Pahang menduduki peperiksaan terbabit.

Terdapat empat calon menduduki peperiksaan di hospital iaitu dua di Kuantan dan masing-masing satu calon di Jerantut  serta Pekan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE