fb fb fb fb fb

Johor cadang pelaksanaan sistem QR Code di CIQ

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 3 Disember- Kerajaan Johor meminta kerajaan pusat mempertimbangkan pelaksanaan kaedah digital sistem 'QR Code' bagi pergerakan keluar masuk melalui dua pintu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor. 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia merupakan salah satu daripada tiga cadangan kerajaan Johor bagi menjayakan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

Jelas Onn Hafiz, Singapura melaksanakan kaedah digital 'QR Code' bagi pergerakan keluar masuk di CIQ bermula 1 Januari 2024. 

"Penggunaan 'multiple entry visa' atau pas khas bagi kelancaran pergerakan pekerja dan barang dagangan serta penambahan kakitangan kastam dan imigresen amat diperlukan.

"Johor berharap kerajaan pusat mempertimbangkan kaedah digital sama bagi melancarkan pergerakan di sempadan yang tersibuk di dunia ini.

"Dua cadangan lain adalah melengkapkan infrastruktur utama dan cadangan insentif fiskal merangkumi insentif percukaian seperti korporat dan individu," kata Onn Hafiz kepada pemberita di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM