fb fb fb fb fb

Johor atur persiapan lebih rapi hadapi banjir untuk calon SPM

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

KLUANG, 5 Januari - Johor melaksanakan persiapan menghadapi banjir lebih rapi di semua daerahnya bagi memastikan calon-calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persiapan itu telahpun dibuat sejak November tahun lalu. 

Katanya, setiap daerah di Johor pernah berdepan situasi sama ketika SPM berlangsung dan kali ini perancangan lebih teratur disusun untuk melancarkan dan memudahkan perjalanan sepanjang minggu peperiksaan.

"Setiap daerah mempunyai cara dan pendekatan mereka untuk mendepani isu tersebut, tetapi Insya-Allah saya yakin dengan kebijaksanaan dan kepimpinan pegawai-pegawai daerah di negeri Johor ini," katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam pada itu berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Johor dijangka akan mengalami hujan lebat berterusan hingga Ahad.

Setakat pagi ini 1,484 penduduk terjejas banjir direkodkan di empat daerah dilanda banjir negeri itu.

TETITIA YUSOFF