fb fb fb fb fb

Johor akan perkenal e-Aduan

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin

JOHOR BAHRU, 27 Julai - Kerajaan Johor akan memperkenalkan sistem penyaluran aduan dalam talian secara berpusat, iaitu e-Aduan pada tahun hadapan bagi memudahkan rakyat membuat aduan khususnya berkaitan isu dalam negeri.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata, ketika ini sistem itu sedang berada dalam fasa perbincangan bersama-sama pihak terlibat sebelum dibangunkan.

Menurut beliau, sistem tersebut juga berlainan daripada sistem aduan dalam talian lain yang tersedia.

"Kita mewujudkan sistem ini di peringkat negeri Johor supaya ianya khusus untuk negeri Johor dan ia ditambah baik dan disatukan dengan sistem-sistem yang sedia ada.

"Ia bukan bertindih dengan sistem sedia ada, kita akan menyatukan, bagaimana untuk nak mengabungkan beberapa sistem yang ada ini supaya kita mempunyai satu platform untuk rakyat Johor memberi aduan kepada kerajaan negeri Johor," kata Aznan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Saya Digital (JSD), di sini. 

Dalam pada itu, Aznan komited menambah kolaborasi dengan pihak berkepentingan daripada kerajaan dan swasta bagi memastikan rakyat Johor mendapat akses kepada kandungan digital berkualiti.

TETITIA YUSOFF